Sunday, April 26, 2015

AL-QIYAS (ERRA SYAKIRA BINTI JOHARI D1320104)


ISI KANDUNGAN
BIL.
PERKARA
HALAMAN
1.
Pengenalan
1
2.
Pengertian al-Qiyas
2.1    Dari Sudut Bahasa
2.2    Dari Sudut Istilah
2
2
2
3.
Rukun al-Qiyas
3
4.
Syarat al-Qiyas
4
5.
Pembahagian al-Qiyas
5.1 Pembahagian Dari Aspek Kekuatan Hujah       
 5.1.1  Qiyas al-Khafiy
 5.1.2  Qiyas al-Jaliy
5.2 Pembahagian Dari Aspek Keluasan Atau Cakupan Makna Yang  Menyeluruh Antara Asal Dan Furu’
   5.2.1  Qiyas al-Awla
   5.2.2  Qiyas al-Musawi
   5.2.3  Qiyas al-Dilalah
   5.2.4  Qiyas al-Syibh
   5.2.5  Qiyas al-Adwan
7
7
7
7
8
8
8
9
9
9
10
6.
Kehujahan al-Qiyas
6.1 Hujah Golongan Yang Menerima
   6.1.1  Dalil al-Quran
   6.1.2  Dalil Hadis
   6.1.3  Dalil Ijma’
   6.1.4  Dalil Akal
6.2 Hujah Golongan Yang Menolak
10
10
10
11
12
12
13
7.
Kesimpulan
15

Rujukan
16





1. PENGENALAN

Islam sebagai agama yang diyakini dapat memberikan kemaslahatan dalam setiap situasi dan keadaan yang mampu menjawab persoalan yang muncul dalam masyarakat termasuk persoalan hukum. Petunjuk yang diyakini dapat menjawab segala persoalan tersebut adalah al-Quran as-Sunnah yang didalamnya terdapat segala persoalan tentang halal dan dan haram, perkara yang harus dilaksanakan atau ditingalkan dan sebagainya. Sekiranya persoalan yang dinyatakan tidak dapat diperolehi hukumnya dalam al-Quran, as-Sunnah atau ijma’, maka qiyas boleh digunakan dalam mengeluarkan atau menentukan sesuatu hukum pada perkara baru kerana qiyas adalah salah satu sumber yang disepakati oleh para ulama’.

            Al-qiyas adalah proses ijtihad berasaskan analogi daripada ayat al-Quran dan as-Sunnah atau perintah yang telah diketahui untuk perkara-perkara baru. Qiyas ini penetapan suatu hukum terhadap perkara terdahulu yang memiliki kesamaan dari segi illah, sebab dan berbagai aspek lain sehingga dihukumi sama.

            Al-qiyas ini juga boleh dikatakan metod pemikiran yang digunakan untuk menganalisis persamaan-persamaan yang wujud di antara kes yang memang sedia ada hukumnya disebut secara jelas dalam al-Quran atau al-Sunnah dengan kes baru yang dihadapi bagi tujuan guna pakai hukum yang sedia ada itu bagi kes baru atas alasan adanya persamaan illah pada perkara furu’ dan asal. Al-qiyas ini juga boleh dijadikan sebagai hujah dalam undang-undang islam untuk penyelesaian dalam dalam pelbagai kes undang-undang yang tidak jelas. Oleh itu, segala persoalan atau permasalahan yang tidak dapat diperolehi dalam al-Quran, as-Sunnah atau ijma’ maka dibolehkan kaedah qiyas dalam mengeluarkan hukum dengan mengqiyaskan illah pada perkara baru dengan yang asal.













AL-QIYAS

2. PENGERTIAN
2.1 Dari Sudut Bahasa
Qiyas bererti mengukur, menyerupai atau menyamakan seperti menyamakan si A dengan si B, kerana keduanya mempunyai tinggi yang sama, bentuk tubuh yang sama, wajah yang sama dan sebagainya. Qiyas juga bererti mengukur seperti mengukur tanah dengan meter atau alat pengukur yang lain. Demikian pula, membandingkan sesuatu dengan yang lain dengan mencari persamaan-persamaanya (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 2012: 85).

2.2 Dari Sudut Istilah
Qiyas dari sudut istilah membawa maksud menzahirkan persamaan sesuatu perkara yang tidak ada nas tentang hukumnya dengan suatu perkara yang ada nas tentang hukumnya kerana kedua-dua illah adalah serupa pada hukumnya. Contohnya, Allah mengharamkan meminum arak dan wajib dikenakan denda ke atas peminum arak itu. Para mujtahid telah mengetahui bahawa illah pengharamannya adalah memabukkan. Maka diqiyaskan pada setiap yang memabukkan seperti dadah dan ganja adalah haram.

            Qiyas ini juga boleh dikatakan sebagai perbandingan antara suatu hukum dengan hukum dalam perkara yang baru dengan perkara yang sebenarnya telah ada hukumnya dalam al-Quran dan as-Sunnah. Qiyas juga menyamakan sesuatu perkara yang tidak jelas hukumnya dalam al-Quran, hadis atau ijma’ dengan masalah yang telah jelas hukumnya dalam salah satu dalil tersebut berdasarkan persamaan illah hukum antara keduanya (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997: 103).

            Ini jelas menunjukkan bahawa qiyas bukanlah menetapkan sesuatu hukum tetapi qiyas adalah mendedahkan hukum untuk perkara furu’ kerana mempunyai persamaan illah hukum sepertimana didapati illah tersebut pada masalah asal yang terdapat nas padanya. Telah terjadi sesuatu kejadian atau peristiwa yang perlu ditetapkan hukumnya, tetapi tida ada nas yang dapat dijadikan dasar untuk menetapkannya. Untuk menetapkan hukumnya boleh digunakan dengan cara qiyas, iaitu dengan mencari peristiwa yang lain yang telah ditetapkan hukumnya berdasarkan nas, serta antara kedua-dua kejadian atau peristiwa itu mempunyai persamaan illah (Wahbah Zuhaily 2013: 188).

3. Rukun Qiyas
Berdasarkan kepada pengertian qiyas, didapati terdapat empat rukun qiyas, iaitu:

i.          Asal, iaitu suatu peristiwa yang telah ditetapkan hukumnya berdasarkan nas dan masalah yang telah disahkan nas hukumnya yang akan diqiyaskan ke atasnya. Asal juga ialah tempat keluar hukum dengan dalil yang qat’i. Contohnya, arak ditetapkan hukumnya berdasarkan al-Quran. Asal juga disebut maqis ‘alaih (yang menjadi ukuran), atau musyabbah bih (tempat menyerupakan) dan mahmul ‘alaih (tempat membandingkan).

ii.        Hukum asal, ialah hukum yang terdapat nasnya pada perkara asal yang hendak ditetapkan atau dijelaskan dalam al-Quran, hadis dan ijma’ kepada furu’. Hukum asal juga ialah hukum syarak yang terbit melalui dalil yang hendak diqiyaskan. Contohnya, hukum haramnya arak.

iii.      Cabang atau furu’ ialah masalah yang tidak terdapat atau tidak dinyatakan nas hukumnya dalam al-Quran, hadis dan ijma’. Maka ia adalah masalah yang hendak diqiyaskan. Contohnya, masalah dadah, ganja dan serupa dengannya.

iv.      Illah ialah sifat atau sebab yang kerananya disyara’kan hukum pada asal. Ia juga sifat yang berupa sebab yang menyebabkan lahir hukum asal yang sama dengan hukum furu’ atau baru. Contohnya, sifat mabuk pada arak dadah atau ganja adalah sama (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997: 103).

            Hendaklah diketahui bahawa qiyas hanya dapat dilakukan apabila telah diyakini bahawa benar-benar tidak ada nas yang dapat dijadikan dasar untuk menetapkan hukum dalam suatu peristiwa atau kejadian. Oleh itu, perkara pertama yang harus dilakukan oleh seseorang dalam hendak melakukan qiyas adalah mencari sekiranya ada nas yang dapat dijadikan dasar untuk menetapkan hukum dari peristiwa atau kejadian. Jika ia telah diyakini benar tidak ada nas yang boleh dijadikan dasar untuk menetapkan hukum maka ia dibolehkan menggunakan qiyas.

4. Syarat-syarat Qiyas
Membicarakan syarat-syarat qiyas adalah membicarakan syarat yang perlu ada dalam rukun-rukun qiyas sehingga ia boleh dijadikan sebagai dalil dalam menentukan hukum. Syarat-syarat qiyas adalah:

i.          Asal
Kejadaian atau perisitiwa yang mempunyai dasar nas, kerana ia telah ditetapkan hukumnya. Menurut Imam Al-Ghazali dan Saifuddin Al-Amidi (keduanya ahli usul fiqh Syafi’iyyah), syarat-syarat asal itu adalah:
a)        Asal itu bukan merupakan furu’ dari asal yang lain.
b)        Dalil yang menetapkan illah pada asal itu adalah dalil khusus, tidak bersifat umum.
c)        Asal itu tidak berubah setelah dilakukan qiyas.

            Rumusannya, qiyas tidak boleh bercanggah dengan dalil yang lebih kuat daripadanya. Sekiranya ia bercanggah dengan nas atau ijma’, qiyas tersebut tertolak. Contohnya, qiyas yang mengatakan sah seorang wanita berkahwin tanpa wali diqiyaskan dengan sahnya menjual beli hartanya tanpa wali. Ini adalah qiyas batal, kerana ia bercanggah dengan nas (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 2012: 86).

ii.        Cabang atau Furu’
Membolehkan atau membenarkan sesuatu furu’ dipindahkan hukum asal kepadanya dengan mempunyai syarat tertentu. Syarat-syaratnya adalah:
a)        Illah yang terdapat pada furu’, memiliki persamaan pada asal, baik pada zatnya mahupun pada jenisnya.


b)        Pada furu’ tidak terdapat nas atau ijma’ yang menunjukkan sesuatu hukum yang berlawanan dengan al-qiyas. Antara contoh al-qiyas yang bertentangan dengan ijma’ seperti orang musafir harus tinggalkan puasa berdasarkan firman Allah:

وَمَن كَانَ مَرِيضًاأَوْعَلَى سَفَرٍفَعِدَّةٌمِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ                                                     
bermaksud: dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka bolehlah ia berbuka kemudian diwajibkan ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkannya itu.
                                                
    (Surah al-Baqarah 2: 185)


                        Maka jika dikatakan orang musafir tidak wajib menunaikan sembahyang kerana    diqiyaskan dengan puasa adalah tidak sah. Ini kerana ia menyalahi ijma’, sembahyang tidak boleh ditinggalkan sebab musafir, bahkan ia wajib ditunaikan dalam apa jua keadaan (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997: 103).

c)        Hukum furu’ tidak boleh mendahului hukum asal. Ini bererti, hukum furu’ harus datang selepas hukum asal. Contohnya, tidak sah diqiyaskan wuduk terhadap tayammum dari segi wajib niat dengan illah kedua-duanya adalah bersuci. Hal tersebut kerana wuduk lebih dahulu disyariatkan daripada tayammum. Oleh itu, qiyas wuduk kepada tayammum dalam soal wajib berniat adalah batal.

d)       Hukum yang dipindahkan kepada furu’ hendaklah sama dengan hukum asal atau yang sama furu’ dengan asal. Oleh itu, sebagai contoh tidak sah qiyas wuduk terhadap tayammum atas dasar illah kedua-duanya menyucikan. Hal tersebut kerana wuduk dan tayammum sememangnya tidak sama dari sudut membersihkan. Wuduk menggunakan air dan dapat menghilangkan kotoran sedangkan tayammum menggunakan debu tanah dan tidak dapat menghilangkan kotoran (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997: 103).

iii.      Hukum Asal
Hukum yang terdapat pada suatu perkara yang ditetapkan hukumnya berdasarkan nas, hukum itu akan digunakan pada furu’. Syarat-syarat hukum asal adalah:

a)        Hukum asal itu hendaklah hukum syara’ yang amali yang telah ditetapkan hukumnya berdasarkan nas. Hal ini adalah kerana yang menetapkan itu adalah hukum syara’ dan sandaran hukum syara’ itu adalah nas.

b)        Hukum asal hendaklah hukum yang dapat difahami illahnya oleh akal. Sekiranya akal tidak dapat mengetahui illah hukum asal, maka qiyas tidak boleh dilakukan. Dalam erti kata lain, hukum asal hendaklah mempunyai sebab yang diketahui agar dapat dikumpulkan antara asal dengan furu’ dalam sebab itu. Justeru itu, tidak sah qiyas ke atasnya.

c)        Hukum asal bukan sesuatu hukum khusus yang telah ditetapkan melalui nas. Justeru itu, sekiranya terdapat dalil yang menunjukkan pengkhususan hukum dengan asal melalui nas, qiyas tidak boleh dilakukan. Ini kerana ia adalah menyalahi dalil syara’. Hukum yang berlaku khusus ialah terdapat dalil menunjukkan sesuatu hukum itu hanya berlaku untuk asal

iv.      Illah
ia adalah satu rukun atau unsur qiyas, bahkan ia merupakan unsur terpenting kerana dengan adanya illah itulah yang akan menentukan adanya qiyas atau yang menentukan suatu hukum untuk dikaitkan dengan yang lain. Illah hendaklah memenuhi syarat berikut:

a)        Illah hendaklah merupakan suatu keadaan atau sifat zahir iaitu dapat difahami oleh pancaindera kerana ia merupakan hukum. Oleh itu, tidak sah dijadikan redha meredhai antara penjual dan pembeli sebagai illah pertukaran milik barangan. Hal tersebut, kerana redha itu berkaitan hati dan tidak dapat difahami secara zahir.
 
b)        Illah itu hendaklah suatu sifat atau keadaan yang pasti dan tetap dalam semua keadaan dan manusia. Justeru itu, tidak sah dijadikan kesukaran sebagai illah seperti berbuka puasa bagi orang musafir dan sakit. Ini kerana kesukaran merupakan perkara yang jelas berlainan dengan sebab berlainan orang dan keadaan (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997: 103).

c)        Illah hendaklah suatu sifat dan keadaan yang sesuai dan munasabah dengan hukum iaitu sifat yang mana pensyariatan hukum untuk memberi faedah mencegah bahaya terhadap manusia. Contohnya, mabuk dalam nisbah pengharaman arak. Justeru itu, kiranya illah tersebut merupakan suatu sifat kebetulan yang tidak mempunyai kaitan atau munasabah dengan hukum, maka tidak sah ia dijadikan sebab kepada hukum (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 2012: 90).

5. Pembahagian Al-Qiyas

5.1 Pembahagian Dari Aspek Kekuatan Hujah
Al-qiyas apabila ditinjau dari aspek kekuatan hujah, al-qiyas terbahagi kepada dua, iaitu:

i.          Al-Qiyas Al-Khafiy
ii.        Al-Qiyas Al-Jaliy

5.1.1 Al-Qiyas Al- Khafiy
Al-Qiyas Al-Khafiy ialah qiyas yang tidak diyakini tentang perbezaan di antara illah pada hukum furu’ dan asal serta ia tidak pasti sama ada ia memberi kesan kepada hukum atau sebaliknya. Al-qiyas jenis ini lebih dikenali dengan istihsan. Contohnya, dalam Al-Qiyas Al-Khafiy atau istihsan ini wanita yang datang haid diharuskan membaca al-Quran dan diharamkan berdasarkan Al-Qiyas Al-Jaliy. Al-Qiyas Al-Khafiy mengharuskan wanita yang datang haid untuk membaca al-Quran kerana ia berbeza dari segi waktunya dengan orang yang berjunub. Qiyas jenis ini menyatakan bahawa waktu berjunub adalah tidak lama berbanding dengan haid yang lama. Maka, sekiranya mereka didatangi haid mereka tidak dapat membaca al-Quran, bererti mereka tidak dapat memperolehi pahala dalam ibadat membaca al-Quran ketika mereka haid, sedangkan lelaki dapat membacanya sepanjang masa (Hassan bin Ahmad & Muhammad Saleh bin Ahmad 1998: 297)

5.1.2 Al-Qiyas Al-Jaliy
Al-Qiyas Al-Jaliy ialah al-qiyas yang jelas iaitu qiyas yang sebabnya ditetapkan dengan nas atau ijma’ ataupun diyakini perbezaan di antara illah pada hukum furu’ atau asal. Ia juga pasti akan memberi kesan pada hukum atau sebaliknya. Contohnya, berdasarkan kepada Al-Qiyas Al-Jaliy ini wanita yang didatangi haid haram membaca al-Quran sama sekali kerana ia diqiyaskan illahnya sama dengan orang yang berjunub iaitu illahnya adalah tidak suci. Oleh itu, orang yang berjunub dan wanita yang didatangi haid sama-sama diharamkan membaca al-Quran (Hassan bin Ahmad & Muhammad bin Ahmad 1998: 294).

5.2 Pembahagian Al-Qiyas Dari Aspek Keluasan Atau Cakupan Makna Yang Menyeluruh Antara Asal Dan Furu’
Al-qiyas yang dilihat dari aspek ini, iaitu perkara yang diqiyaskan dengan yang asal dapat dibahagikan kepada lima bahagian, iaitu:
a)        Qiyas Al-Awla
b)        Qiyas Al-Musawi
c)        Qiyas Al-Dilalah
d)       Qiyas AL-Syibh
e)        Qiyas Al-Adwan

5.2.1 Qiyas Al-Awla
Qiyas Al-Awla adalah yang mana illah pada hukum furu’ itu lebih kuat illahnya daripada hukum asal. Qiyas Al-Awla ini juga bermaksud dari segi hukumnya furu’ di dalam al-qiyas ini lebih utama atau kuat berbanding dengan yang asal. Sebagai contoh, mengqiyaskan haram memukul ibu bapa diqiyaskan dengan mengatakan “ah” kepada kedua ibu bapa dengan illah yang sama iaitu menyakiti (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997: 103). Sebagaimana firman Allah ada menyatakan:

فَلَا تَقُل لَّهُمَآ اٌفٍ                                                                                                          bermaksud: maka janganlah engkau berkata kepada mereka dengan sebarang perkataan yang kasar walaupun hanya dengan perkataan “ah”..          
                                                     
(Surah al-Isra’ 17: 23)

Oleh itu, janganlah kita mengatakan perkataan yang kasar terhadap kedau ibu bapa walaupun hanya dengan perkataan “ah” kerana ia sama seperti kita memukul atau memarahinya kerana illahnya adalah sama iaitu menyakiti kedua ibu bapa kita.

5.2.2 Qiyas Al-Musawi
Qiyas Al-Musawi adalah qiyas yang hukumnya adalah sama di antara asal dengan furu’ berdasarkan kepada illahnya yang sama. Al-Qiyas Musawi ini juga boleh dijelaskan dengan furu’ di dalam al-qiyas ini adalah sama dengan yang asal dari segi hukumnya. Contohnya, diqiyaskan haram membakar atau memusnahkan harta anak yatim kepada haram memakan harta anak yatim. Ini kerana, illahnya ialah merosakkan dan menghabiskan harta anak yatim tersebut (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997: 109). Allah S.W.T ada berfirman iaitu:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَلَ الْيَتَمَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا
Bermaksud: sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api neraka ke dalam perut mereka, dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.
                                                       (Surah al-Nisa’ 4: 10)

5.2.3 Qiyas Al-Dilalah
Qiyas al-Dilalah adalah qiyas yang menghimpunkan di antara hukum asal dengan furu’ berdasarkan sifat yang tetap bagi illah. Contohnya, adalah haram hukum bagi perahan anggur, diqiyaskan dengan pengharaman arak. Ini kerana illah bagi kedua-duanya ialah terdapat bau yang kuat yang dikira sebati dengan bahan yang memabukkan. Contoh lain pula yang boleh dikaitkan dengan qiyas ini adalah diqiyaskan harta kanak-kanak kepada harta orang baligh dalam perkara wajib zakat dengan illah yang sama iaitu bertambah dan berkembang harta tersebut (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997: 109).

5.2.4 Qiyas Al-Syibh
Qiyas al-Syibh adalah qiyas yang mana hukum furu’ nya boleh diqiyaskan dengan dua yang asal yang mana ia dikaitkan dengan asal yang lebih banyak persamaan dengannya. Contoh yang boleh diketengahkan dalam qiyas ini adalah pembunuhan yang tidak disengajakan terhadap hamba yang dimiliki oleh orang lain. Mengikut asal kejadiannya, hamba tersebut boleh diqiyaskan dengan manusia biasa dan hamba tersebut juga boleh disamakan dengan kuda yang dimiliki oleh tuannya dan diqiyaskan kepada harta yang dimiliki oleh tuannya (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997: 109).

5.2.5 Qiyas Al-Adwan
Qiyas al-Adwan ini boleh dikenali juga sebagai qiyas al-Adna. Qiyas ini adalah berdasarkan illah yang nilai illah itu lebih rendah daripada illah yang terdapat pada hukum asal. Selain itu juga, dari segi illah hukum furu’ dalam qiyas ini adalah kurang jelas atau tidak kuat berbanding dengan yang asal. Sebagai contoh, haram menjual ayam dengan ayam dibandingkan dengan menjual gandum dengan gandum, dimana illah bagi ayam adalah lebih rendah berbanding dengan gandum yang menjadi makanan asasi untuk manusia (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997:110). 

6. Kehujahan Al-Qiyas
Jumhur ulama’ sepakat mengatakan al-qiyas boleh dijadikan hujah dan sebagai sumber hukum syara’. Manakala golongan Nizamiah, Zahiriah dan segolongan puak Syiah berpendapat al-qiyas tidak boleh dijadikan hujah. Hujah mereka seperti berikut:

i.          Hujah Golongan Menerima.
ii.        Hujah Golongan Menolak.

6.1 Hujah Golongan Yang Menerima
Golongan yang menerima adalah para jumhur ulama’. Mereka berpendapat bahawa al-qiyas boleh dijadikan hujah dengan berdasarkan dalil al-Quran, hadis, ijma’ dan akal. Iaitu:

6.1.1 Dalil al-Quran
Di antara ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa al-qiyas adalah hujah ialah dalam firman  Allah  S.W.T :

فَا عْتَبِرُواْيَاُ وْلِي الأَبْصَرِ
 Bermaksud: hendaklah kamu mengambil pengajaran wahai orang-orang yang mempunyai akal fikiran.
                                                      
(Surah al-Hasyr 59:2)

Allah S.W.T menerangkan balasan yang menimpa Bani Nadir sebagai balasan kekufuran dan tipu daya mereka terhadap Rasulullah SAW dan orang-orang mukmin. Allah juga berfirman lagi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Bermaksud: wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan juga kepada Ulul Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kam. Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada kitab Allah (al-Quran) dan (sunnah) rasulnya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya.
                                                      (Surah al-Nisa’ 4: 59)

                        Ayat di atas menunjukkan supaya jika kita berselisih pendapat dalam membuat keputusan, maka hendaklah kita merujuk kepada al-Quran dan hadis. Selain itu, kita juga boleh mengeluarkan hukum yang tiada nas tentangnya menggunakan al-qiyas berdasarkan kejadian yang sudah ada nas dalam al-Quran dan hadis (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997: 111)

6.1.2 Dalil Hadis
Hadis ini berkaitan dengan perutusan Mu’az ke Yaman yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud, Rasulullah bertanya kepada Mu’az:

مَارُوىَ اُنَّ النَّبِى صلى الله عليه وسلم قَالَ لِمُعَاذ:بِمَا تَحْكُمُ؟ قَالَ: يَكِتَابِ الله تعالى. قَالَ: فَاِنْ لَمْ تَجِدْ؟ قَالَ بسُنَةِ رَسُوْلِ الله صلى الله. قَالَ: فَاِنْ لَمْ تَجِدْ؟ قَالَ: اُجْتَهِدُ راُيى وَلَا الُو. فَقَالَ النَبِي عليه السلام: اَلْحَمْدُالله الَذي وَفَّقَ رَسُوْلُ الله صلى الله لِمَايُجبُّهُ   وَيَرْضَاهُ رَسُولُ الله                                                                                                 
Bermaksud: bagaimanakah nanti engkau akan memutuskan hukum apabila dibawa kepada engkau sesuatu permasalahan? Mu’az menjawab: saya akan memutuskan hukum berdasarkan kitab Allah S.W.T. Nabi bertanya lagi: sekiranya kamu tidak dapat dalam kitab Allah? Jawab Mu’az: saya akan memutuskan berdasarkan sunnah rasulnya. Tanya nabi lagi: sekiranya engkau tidak menemui dalam sunnah ? Jawabnya saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut atau membenarkan begitu sahaja. Nabi pun menepuk dada sambil bersabda: segala puji bagi Allah yang telah memberi taufiq kepada utusan Rasulullah ke arah sesuatu yang diredhai oleh Rasulullah.
                                             
                                             
(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Ini telah terbukti dalam hadis sahih bahawa nabi sendiri menggunakan ijtihad baginda dan al-qiyas untuk mengeluarkan hukum yang tidak ada wahyu tentangnya. Justeru itu, berijtihad dan menggunakan al-qiyas adalah salah satu sunnah nabi (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997: 112).

6.1.3 Dalil Ijma’
Para sahabat telah berhujah dengan al-qiyas dan mereka beramal dengannya. Ini berdasarkan kepada riwayat yang sabit sanadnya secara Mutawatir Maknawi bahawa yang beramal dan berhujah menggunakan al-qiyas adalah dari golongan para sahabat yang terkemuka dan perkara tersebut berulang sehingga tercetus banyak masalah-masalah yang terkenal dan tidak ada seorang dari kalangan para sahabat yang mengingkarinya. Maka ini menunjukkan persepakatan mereka dalam beramal dengan al-qiyas (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997: 113). Sebagai contoh:

            Para sahabat sepakat melantik Abu Bakar sebagai khalifah berdasarkan qiyas terhadap perlantikan beliau sebagai imam sembahyang sewaktu hayat Nabi SAW. Dimana setengah sahabat mengatakan Rasulullah SAW meredainya dalam perkara agama, mengapa kita tidak boleh meredainya sebagai ketua kita dalam perkara dunia. Selain itu, para sahabat juga pernah menjatuhkan hukuman bunuh pada beberapa orang yang terlibat sama dalam kes pembunuhan yang mengakibatkan terbunuhnya seseorang. Hal ini diqiyaskan dengan potong tangan terhadap beberapa orang pencuri yang terlibat sama dalam kes pencurian tersebut (Wahbah Zuhaily 2013: 216).

6.1.4 Dalil Akal
Islam adalah agama yang sempurna sehingga hari kiamat. Oleh sebab itu, syariat Islam dan hukumnya mestilah mempunyai sumber-sumbernya yang lengkap merangkumi segala hukum-hukum bagi masalah-masalah yang telah berlaku atau yang akan berlaku sehingga ke hari kiamat. Nas-nas al-Quran dan as-Sunnah terbatas dan berkesudahan disebabkan oleh berkesudahannya wahyu. Namun masalah tidak berkesudahan dan tidak terbatas tetapi nas yang terbatas dan berkesudahan tidak dapat merangkumi hukum-hukum bagi masalah-masalah yang tidak berkesudahan. Sekiranya illah bagi permasalahan yang berlaku itu menyerupai atau ia dijelaskan dalam nas, inilah ia dinamakan al-qiyas. Ini adalah jalan untuk ia memperjelaskan kepada kita bahawa pemasalahan tersebut merangkumi dalam nas-nas syarak yang tidak ada penjelasan hukum baginya.

            Disebabkan itu, syariat Islam layak mempraktikkan disetiap zaman dan tempat serta dapat memenuhi kehendak manusia dan kepentingan mereka sehingga ke hari akhirat. Justeru itu, perlulah al-qiyas digunakan untuk mengeluarkan hukum baru dengan berdasarkan persamaan illah atau sebab dengan lahirnya hukum yang dijelaskan di dalam nas (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 1998: 113).

6.2 Hujah Golongan Yang Menolak
Golongan yang menolak al-qiyas adalah golongan Nizamiah, Zahiriah dan segolongan puak Syiah. Antara alasan dan hujah golongan yang menolak al-qiyas adalah:

a)        Al-Quran menegah dan melarang kita daripada mengikuti zann. Sebagaimana firman Allah:
                                                 وَلا تَقفُ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۚ
bermaksud: dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mengetahuinya.
                                                    
(Surah al-Isra’ 17: 36)

Qiyas merupakan perkara zann kerana ia berasaskan kepada zann bahawa illah yang kerananya disyariatkan hukum didalam dalil yang dijelaskan itu. Oleh itu, qiyas dilarang dari diikuti dan beramal dengannya dan tidak dapat menetapkan hukum.      Jumhur ulama’ menjawab zann yang dilarang dalam al-Quran itu ialah zann mengenai hukum-hukum aqidah kerana ia dituntut yakin mengenainya. Ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa hukum syara’ yang berbentuk amali, zann baginya     adalah memadai (Hassan bin Ahmad & Muhammad Saleh bin Ahmad 1998: 272).

b)        Kebanyakkan para sahabat mengkeji dan mengingkari dari beramal dengan qiyas. Diantaranya:
Abu Bakar al-Siddiq ra ketika ditanya mengenai makna al-Qalalah yang disebut di dalam firman Allah S.W.T, beliau berkata:


                                                             وَإِن كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَلَةً أَوِامْرَ أَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ                            
Bermaksud: jika seseorang lelaki atau perempuan yang tidak mempunyai bapa atau anak tetapi mempunyai seseorang saudara lelaki dan seorang saudara perempuan. Ia berkata

                           
 أَيُّ سَمَاءتُظلُّنِيْ وَأَيُّ أَرْضٍ تَقِلُّنِيْ إِذَاَقُلْتُ فِىْ كِتَابِ اللهِ بِرَأْيِيْ                          
bermaksud: di manakah langit yang ingin meneduhi aku dan di manakah bumi tempat aku berpijak, andainya aku berani memperkatakan di dalam kitab Allah dengan fikiranku iaitu al-qiyas.

            Umar bin al-Khattab pernah berkata:

                 
ايَّاكُمْ وَأَصْحَابَ الرَّأْيِ فَانَّهُمْ أَعْدَاءُ السُّنَنِ أَعْيَتْهُمُ اْلأَحَادِيْثُ اَنْ يَحْفَظُوْهَا فَقَالُوْابِالرَّأْىِ فَضَلُّوْا وَأَضَلُّوْا            
Bermaksud: “waspadalah kamu dari orang-orang yang berpegang kepada pemikiran qiyas kerana sesungguhnya mereka adalah musuh-musuh sunat, hadis-hadis melemahkan mereka dari menghafalnya (mereka tidak mampu menghafal hadis-hadis) maka mereka menghukum dengan pemikiran lalu mereka sesat dan menyesatkan” (Hassan bin Ahmad & Muhammad Saleh bin Ahmad 1998: 273-275).


c)        Al-Qiyas membawa kepada pertelingkahan dan permusuhan antara umat, kerana al-qiyas berasaskan kepada zann tetapi seperti yang diketahui perselisihan adalah suatu yang tidak disukai dalam Islam. Dalam Firman Allah S.W.T:

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ وَلا تَنٰزَعوا فَتَفشَلوا وَتَذهَبَ ريحُكُم ۖ
Bermaksud: dan janganlah kamu berbantah-bantah kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu (Hassan bin Ahmad & Muhammad Saleh bin Ahmad 1998: 277).
                                                       (Surah al-Anfal 8 :46)


7. KESIMPULAN

Kesimpulannya, qiyas ini adalah menerangkan hukum sesuatu yang tidak ada nasnya dalam al-Quran dan hadis dengan cara membandingkannya dengan sesuatu yang ditetapkan hukumnya berdasarkan nas. Qiyas digunakan jika mendapat permasalahan yang tidak ada nas yang menunjukkan penyelesaian tersebut secara langsung atau tidak langsung. Al-qiyas ini diterima sebagai sumber hukum yang disepakati oleh para ulama’. Tidak semua golongan yang dapat menerima al-qiyas dalam proses mengeluarkan hukum contohnya seperti golongan Nizamiah, Zahiriah dan segolongan puak Syiah yang menolak kehujahan al-qiyas dalam proses mengeluarkan hukum.

                        Untuk melakukan kaedah al-qiyas ini, segala rukun yang terdapat dalam qiyas perlulah dipenuhi agar qiyas yang dilakukan adalah sah dan tidak batal. Al-qiyas ini adalah proses berfikir dalam mengeluarkan hukum, di samping itu qiyas ini juga sebagai satu dalil yang dapat dijadikan petunjuk bahawa adanya hukum dalam suatu kaedah yang sememangnya sudah diakui kekuatan dan kebenarannya.

                        Permasalahan yang berlaku pada zaman sekarang adalah tidak terbatas dan sering berlaku tetapi nas yang ada dalam al-Quran dan as-Sunnah itu terbatas. Maka oleh itu, qiyas adalah diperlukan sebagai sumber perundangan yang dapat mengikuti peristiwa-peristiwa atau segala permasalahan baru yang berlaku pada zaman sekarang.

                       








RUJUKAN

Al-Quran Al-Karim

Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin. 1997. Pengantar Usul Fiqh. Kuala             Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin. 2012. Usul Fiqh dan Kaedah Fiqh.            Kuala Lmpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Hassan bin Ahmad & Muhammad Saleh bin Ahmad. 1998. Usul Fiqh dan Qawaid            Fiqhiyyah. Selangor: Pustaka Haji Abdul Majid.

Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid. 2010. Pengantar Pengajian Syariah. Kuala Lumpur:    Al_Baian Corporation Sdn. Bhd. Universiti Malaya.

Wahbah Zuhaily. 2013. Kaedah Usul Fiqh. Selangor: Pustaka Al-Ehsan.














No comments:

Post a Comment