Sunday, April 26, 2015

URUF DAN ADAT (NADIA SHAHIRAH BINTI JAAFAR D1320144)



ISI KANDUNGAN
BIL.
PERKARA
HALAMAN
1.
Pengenalan
1
2.
Pengertian


2.1 Uruf
     2.1.1 Dari Sudut Bahasa
     2.1.2 Dari Sudut Istilah
     2.1.3 Imam Al-Ghazali
2.2 Adat
     2.2.1 Dari Suudut Bahasa
     2.2.2 Dari Sudut Istilah

2
2
2

2
2
3.
Perbezaan Uruf dan Adat
2
4.
Dalil Pensyariatan
4.1 Al-Quran
4.2 Al-Sunnah

3
3
5.
Kehujahan Uruf
5.1 Ulama yang menerima
5.2 Ulama yang menolak

4
5
6. 
Pembahagian Uruf
6.1 Pembahagian Dari Sudut Sebab Dan Pergantungan
      6.1.1 Urf Lafziyy
      6.1.2 Urf Amaliyy
6.2 Pembahagian Dari Sudut Sumber
      6.2.1 Urf Am
      6.2.2 Urf Khas
      6.2.3 Urf Shar’iyy
6.3 Uruf Dilihat Dari Sudut Perakuan Dan Penolakan
      6.3.1 Urf Fasid
      6.3.2 Urf Sahih

6
6
6
7
7
7
8
8
9
9
7.
Syarat-syarat penerimaan uruf dan adat
9
8.
9. 
Peranan Urf Dalam Penetapan Hukum-Hukum
Urf Rujukan Hukum-Hukum
10
12
10.
Perubahan Hukum Terjadi Dengan Perubahan Masa
13

Kesimpulan
15

Rujukan
16


1.PENGENALAN                                                                                                                                   Urf dan adat adalah satu aspek atau ciri yang terpenting dalam kebudayaan semua bangsa. Ia bukanlah mempersulitkan kehidupan malah berperanan dalam mengatur tatacara hidup bermasyarakat dan juga kehidupan setiap anggota masyarakat itu. Pada umumnya, masyarakat masih berpegang kepada adat dan tradisi masyarakatnya terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan bermasyarakat. Dari semasa ke semasa adat resam yang tidak jelas tujuan dan maksudnya akan ditinggalkan oleh masyarakat  berkenaan.
Syariat Islam memelihara 'urf manusia dengan syarat tidak berlaku kerosakan dan tidak hilang kepentingan (maslahah) kehidupan. Maksud ‘urf mempunyai hubungan yang erat dengan maksud adat di mana kebanyakan sarjana Islam tidak membezakan di antara kedua-duanya . Kedua-dua maksud ini merupakan sebahagian daripada unsur-unsur corak kebudayaan. Dalam penggunaan bahasa Melayu maksud 'urf jarang diguna pakai berbanding dengan perkataan adat.

Urf merupakan salah satu sumber penting untuk mengeluarkan hukum syarak walaupun ada di kalangan para ulama yang tidak mengiktirafkannya sebagai salah satu sumber hukum. Namun begitu, para ulama yang mengiktirafkannya melihat ia sebagai salah satu sumber yang amat penting terutama dalam permasalahan yang berkaitan dengan hubungan antara sesama makhluk dan dalam beberapa aspek lain juga tidak dapat di nafikan, kerana di sana ada persoalan yang tidak dapat di selesaikan dengan menggunakan sumber-sumber yang disepakati iaitu al-Quran, Al-Sunnah, ijmak dan qiyas. 




2. PENGERTIAN URUF DAN ADAT

2.1.Uruf

2.1.1.Dari sudut bahasa
Takrifan al-‘urf ialah sesuatu yang dipandang baik serta perkara yang dapt diterima oleh akal yang sihat. (Ab. Latif Muda, Rosmawati Ali @ Mat Zin, 2012, 329)

2.1.2.Dari sudut istilah
Al-uruf pada istilah fiqh ialah amalan atau percakapan sesuatu kaum yang menjadi kebiasaan mereka. Daripada maksud ini difahami bahawa uruf tidak wujud melainkan apabila ia benar-benar berlaku antara manusia di tempat yang tertentu ataupun yang biasa berlaku di mana sebahagian besar penduduk mengerjakan uruf ini dan mematuhinya.( Abd.Jalil Borham, 2002, 53)

2.1.3.Imam al-Ghazali
Sesuatu yang telah mantap di dalam jiwa manusia dari segi akal fikiran dan diterima oleh tabiat sejahtera. (Mohamad Anuar Ramli, 2006)

2.2 Adat
2.2.1.Dari sudut bahasa
Adat dari segi bahasa bermakna berulang kali. Ia merupakan nama kepada pengulangan perbuatan berkali-kali.(Mohamad Anuar Ramli, 2006)

2.2.2.Dari Sudut Istilah                   
Apa sahaja yang menjadi amalan kebiasaan orang ramai atau segolongan daripada mereka, sesuatu perbuatan atau perkataan yang berterusan dilakukan oleh manusia yang mana ia dapat diterima oleh akal manusia atau sesuatu yang dilakukan secara berulang-ulang. (Ab. Latif Muda, Rosmawati Ali @ Mat Zin, 2012, 330)

3. PERBEZAAN URUF DAN ADAT
Walaupun majoriti ulama menyamakan antara al-Urf dengan al-Adah, namun sesetengah ulama membezakannya. Perbezaan antara al-Urf dengan al-Adah ialah ;
1.      Al-Adah itu kemungkinan atau kadang kala lahir daripada orang perseorangan serta kumpulan orang ramai. Manakala al-Urf pula kemungkinan lahir melalui orang ramai sahaja. (Ab. Latif Muda, Rosmawati Ali @ Mat Zin, 2012, 334)
2.      Setengah ulama menyatakan al-Adah hanya tertumpu kepada perbuatan sahaja. Manakala al-Urf pula kebiasaannya tertumpu pada perkataan sahaja. (Ab. Latif Muda, Rosmawati Ali @ Mat Zin, 2012, 334)
Ringkasnya, al-Adah dan al-Urf dilakukan secara berulang-ulang kali sehingga menjadi sebati dalam jiwa, membawa ketenangan serta diterima oleh akal waras. Apa yang pentingnya, al-Adah dan al-Urf dapat diterima menjadi hujah hukum dan apa yang mendatangkan faedah serta tidak bertentangan dengan hukum syarak. ( Ab. Latif Muda, Rosmawati Ali @ Mat Zin, 2012, 334)

4. DALIL PENSYARIATAN

4.1 Al-Quran
Firman Allah S.W.T :
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ                                                               
Maksudnya ;                                                                                                    Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya). (Surah al-A’raf  7:199)
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya :
Tidaklah dijadikan kesukaran untukmu di dalam agama”. (Surah Al-Haj ayat 22:78 )

4.2 Al-sunnah
Daripada As-Sunnah : yang diriwayatkan oleh bukhari. Sesungguhnya Nabi Muhamad s.a.w telah bersabda kepada Hindun (isteri Sufyan) ketika mana hindun mengadu kepada Baginda mengenai suaminya Abu Sufyan dan kebakhilannya : “ Ambillah dari harta suamimu yang mencukupi bagimu serta anakmu dengan maa’ruf”. Walaupun Qawli (perkataan) yang mulia ini , telah diharuskan oleh Baginda untuk si Hindun mengambil harta suaminya yang mencukupi baginya serta anaknya mengikut adat atau uruf ketika itu.
Hadith mawquf yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud RA sebagaimana kata beliau :
مَا رَآهُ الْمُسْلِمُوْنَ حَسَناً؛ فَهُوَ عِنْدَ اللهِ حَسَنٌ، وَمَا رَآهُ الْمُسْلِمُوْنَ سَيِّئاً؛ فَهُوَ عِنْدَ اللهِ سَيِّئٌ
Maksudnya :                                                                                                                                
Apa yang dinilai baik oleh kaum muslimin baik, ia adalah baik di sisi Allah. Apa yang dinilai buruk oleh kaum muslimin, buruklah ia di sisi Allah.
Dari ayat di atas hadis ini menerangkan baik dari segi ibarat mahupun tujuannya, menunjukkan bahawa setiap perkara yang telah menjadi adat di kalangan kaum Muslimin dan dipandang sebagai perkara baik, maka perkara tersebut juga dipandang baik di sisi Allah.

5. KEHUJAHAN
Apa yang dimaksudkan dengan kehujahan dan menerima uruf sebagai sumber hukum ialah beramal dengannya. Uruf tidak dianggap sebagai hujah jika ia menyalahi dalil-dalil dan hukum syarak yang tetap dan tidak berubah, walaupun suasana dan adat telah berubah. Oleh itu, mana-mana uruf yang bertentangan dengan nas atau hukum mestilah sama-sama kita menghapuskannya dan meninggalkannya. Sebagaimana firman Allah S.W.T. :

 وَ لا تَعاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَ الْعُدْوانِ                                                                                                                            
Maksudnya :
Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (surah al-Ma’idah 5:2)

5.1 Ulama yang menerima
Ulama Hanafi dan Ulama Maliki

Jumhur ulama berpegang kepada urf sebagai hujah. Banyak hukum yang dikeluarkan berdasarkan kepada urf. Golongan yang terkenal menggunakan ‘urf adalah dari kalangan Mazhab Hanafi dan Maliki. Ulama Hanafi dan Maliki menerima uruf sebagai hujah hukum. Uruf yang betul dan tidak bertentangan dengan syarak mestilah diambil kira dalam pembinaan hukum dan membuat keputusan. Justeru itu mujtahid dan kadi mestilah menilainya dalam membuat keputusan. Contohnya, syarak mengambil kira dan menjaga adat kebiasaan orang arab yang baik serta tidak bertentangan dengan hukum seperti mewajibkan bayaran diat terhadap aqilah iatu ahli keluarga pembunuh. Adapun uruf yang fasid dan bertentangan dengan syarak tidak boleh diikuti sama sekali. Ulamak, mujtahid serta kadi mestilah meninggalkannya dalam mengeluarkan keputusan. Ini kerana uruf tersebut bertentangan dengan dalil syarak dan juga menyebabkan terbatalnya hukum syarak. Contohnya, seperti amalan riba yang berlaku dalam adat masyarakat jahiliyyah terus diharamkan dalam syariat. (Ustaz Abd. Latif Muda, Ustazah Rosmawati Ali@Mat Zin, 1997, 138)

5.2 Ulama yang menolak
Ulama Syafi’I dan Ulama Hanbali

Bagi ulama Syafie dan Hanbali pula, meraka tidak menjadikan uruf ini sebagai hujah dalam mengeluarkan suatu hukum. Selain itu,urf tidak akan dianggap sebagai hujah jika ia menyalahi dalil-dalil syarak dan hukumnya yang tetap dan tidak berubah dengan sebab berlainan suasana dan adat-adat,kerana berhujah dengannya bererti membelakangkan nas-nas syarak yang qat’iyy dan mengikut hawa nafsu serta membatalkan syariat-syariat kerana syariat tidak datang untuk memperakui perkara-perkara yang mudharat dan rosak. Oleh yang demikian diketepikan uruf  itu dan tolong-menolong menghapuskannya,kerana redha dengannya bererti tolong-menolong melakukan perkara dosa dan permusuhan, ini dilarang oleh islam. (Hassan bin Ahmad.Muhammad Saleh bin Ahmad, 1198, 346)

6. PEMBAHAGIAN
Al-urf apabila dilihat dari sudut sebab dan pergantungannya, ia dapat dijelaskan seperti yang berikut ;

6.1. Al-urf dilihat dari sudut sebab dan pergantungan
Al-urf apabila dilihat dari sudut objeknya ia dapat dibahagikan kepada dua jenis ;
1.      Urf lafziyy
2.      Urf amaliyy

6.1.1Urf lafziyy
Urf lafziyy. Ia juga dikenali sebagai urf perkataan atau qawliyy iaitu kebiasaan masyarakat dalam mempergunakan lafaz atau ungkapan tertentu. Ia merupakan al-Urf yang berkaitan dengan penggunaan sebahagian dari perkataan-perkataan yang sudah menjadi kebiasaan orang ramai menggunakannya untuk makna-makna tertentu. Di antara contohnya ialah penggunaan perkataan al-Walad yang sudah menjadi kebiasaan orang arab menggunakannya untuk makna anak lelaki bukan untuk perempuan, sedangkan ia dari segi bahasa merangkumi anak lelaki dan perempuan. (Usul Fiqh & Kaedah Fiqh, 2012 : 331)

6.1.2.Urf amaliyy
 Urf amaliyy. Ia juga dikenali dengan urf perbuatan yang bermaksud perbuatan atau amalan yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat. Perbuatan atau amalan tersebut sama ada dari segi kegiatan biasa atau kegiatan kemasyarakatan. Maksud kegiatan biasa adalah kegiatan yang bersangkutan dengan kehidupan biasa tanpa melibatkan akad dan hak seperti makan, minum, pakaian,dan sebagainya. Maksud kegiatan kemasyarakatan pula ialah kegiatan yang bersangkutan dengan akad dan hak. Di antara contohnya ialah kebiasaan orang ramai berjual beli kebanyakan barang-barang melalui beri memberi tanpa ada lafaz ijab dan qabul, penggunaan tandas awam tanpa ditetapkan tempoh masa dan jumlah air yang digunakan dan istisna’  (tempahan membuat barangan seperti kasut dan pakaian). (Usul Fiqh & Kaedah Fiqh, 2012 : 331)

6.2. Al-Urf dilihat dari sudut sumber
  Al-Urf apabila dilihat dari sudut sumber ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ;

1.      Urf am
2.      Urf khas
3.      Urf shar’iyy

6.2.1.Urf am
Uruf am iaitu kebiasaan tertentu yang berlaku secara luas di seluruh masyarakat dan di seluruh daerah. Ia merupakan perbuatan yang sudah menjadi kebiasaan kebanyakan penduduk semua negara Islam di dalam satu-satu masa. Diantara contohnya ialah masuk ke dalam masjid tanpa menanggalkan kasut adalah menghina kesuciannya,   masuk ke dalam bilik air tanpa ditentukan bayaran tertentu dan juga tidak ditentukan tempoh masa berada di dalamnya, jual beli melalui tempahan dengan mendahulukan bayaran cengkeram dan lafaz talak yang digunakan untuk perceraian oleh seluruh umat Islam walaupun pada asalnya tidak bermaksud untuk tujuan tersebut. (Usul Fiqh & Kaedah Fiqh, 2012 : 331)

6.2.2.Urf khas
Uruf khas ialah kebiasaan yang berlaku di daerah dan masyarakat tertentu. Ia merupakan perkara yang menjadi kebiasaan atau dikenali oleh penduduk sesebuah negara atau negeri,  kawasan atau satu golongan manusia yang  tertentu sahaja. Ia berbeza mengikut keadaan dan situasinya. Diantara contohnya ialah masuk ke dalam rumah orang-orang islam di Malaysia tanpa membuka kasut adalah dikira menghina tuan rumah tetapi ada di antara negeri islam yang lainnya tidak memandang hina perbuatan tersebut  seperti Jordan dan juga kebiasaan di sesetengah tempat meletakkan tanggungjawab membayar bil ke atas pemilik rumah sewa bukannya penyewa. (Ab. Latif Muda, Rosmawati Ali, 2012 : 332)

6.2.3.Urf shar’iyy
Urf shar’iyy ialah suatu lafaz yang telah digunakan oleh syarak dengan makna yang khusus. Hal ini dapat dilihat melalui makna yang terdapat di dalam sesuatu lafaz. Sebagai contoh lafaz sembahyang. Sembahyang dari sudut bahasa bererti berdoa untuk kebaikan manakala dari sudut istilah syarak pula perbuatan dan perkataan tertentu  yang dimulai dengan takbiratul irham dan diakhiri dengan salam. Berdasarkan kepada pengertian kedua dua sudut ini bahasa dan istilah adalah berlainan. Namun, istilah syarak menunjukkan makna tertentu iaitu bukan sekadar doa tetapi ada perbuatan lain yang perlu dilakukan sehingga sah perbuatan tersebut. Manakala perkataan puasa dari segi bahasa ialah menahan diri. Dari istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada sesuatu perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Ini menunjukkan bahawa puasa perlulah meliputi perbuatan yang menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.

6.3  Al-Urf dilihat dari sudut perakuan dan penolakan
Al-Urf apabila dilihat dari sudut perakuan dan penolakan ia dapat dibahagikan kepada dua jenis bahagian iaitu ;
1.      Uruf sahih
2.      Uruf fasid

6.3.1.Urf sahih
Urf sahih ialah kebiasaan yang dilakukan oleh orang ramai yang tidak bercanggah dengan dalil syarak atau perkara yang sudah menjadi kebiasaan orang ramai melakukannya tanpa mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. Erti kata lain, ia merupakan al-Urf yang benar ataupun segala adat yang tidak bercanggah dengan nas syarak serta tidak membawa kemudaratan kepada manusia, contohnya seperti kebiasaan mereka bahawa isteri tidak akan berpindah ke rumah suaminya kecuali selepas menerima sebahagian daripada mas kahwin, dan bahawa apa yang diberikan oleh lelaki yang meminang di dalam masa pertunangan  dianggap sebagai hadiah sahaja bukan sebahagian daripada mas kahwin dan juga jual beli tanpa lafaz ijab dan qabul. (Ab. Latif Muda. Rosmawati Ali @ Mat Zin, 2012 : 332)

6.3.2.Urf fasid
Urf fasid ialah perkara yang sudah menjadi kebiasaan orang ramai melakukannya tetapi ia menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal dan juga setiap perkara yang menyalahi syarak dan membawa kemudaratan kepada manusia serta tidak mendatangkan apa-apa kebaikan. Dalam erti kata lain ia merupakan al-Urf yang salah atau segala adat yang berlaku dalam masyarakat dan didapati bertentangan dengan syariat Islam, sebagai contoh seperti kebiasaan mereka memakan riba, menghidangkan minuman-minuman yang keras,  mengadakan tarian-tarian di hari-hari perayaan,  meninggalkan sembahyang di hari perayaan umum dan pergaulan bebas tanpa menutup aurat di antara perempuan mengharamkan pendedahan aurat kepada yang bukan mahram. (Ab. Latif Muda. Rosmawati Ali @ Mat Zin, 2012 : 332,332)

7. SYARAT-SYARAT PENERIMAAN URUF DAN ADAT
Sarjana usul telah menggariskan beberapa syarat dalam mengambil kira uruf dan adat sebagai asas hukum. Ini bagi memastikan nilai yang diterima pakai tidak bertentangan dengan objektif syariah untuk mencapai segala kebaikan dan mengurangkan kemudaratan. Syarat-syarat tersebut ialah :
i.        Urf itu tidak berlawanan dengan nas syara’. Jika ia berlawanan dengan nas, maka urf tersebut tidak boleh diambil dan diamalkan seperti transaksi yang mempunyai unsur riba, pendedahan aurat dan lain-lain lagi. (Ab. Latif Muda. Rosmawati Ali @ Mat Zin, 2012, 333)
ii.      Al-Urf tersebut mestilah digunakan secara meluas atau menyeluruh kalaupun ada yang tidak mengamalkan hanya dalam jumlah yang minimum. Hal tersebut sesuai dengan kata-kata fuqaha, apa yang diiktibar itu ialah yang biasa serta yang rata-rata atau meluas dipakai, bukan yang nadir atau jarang digunakan. (Ab. Latif Muda. Rosmawati Ali @ Mat Zin, 2012, 333)
iii.    Urf atau adat yang akan dirujuk dalam  sesuatu tindakan itu sudah wujud ketika hendak mengeluarkan hukum mengenainya. Jika sesuatu hukum dikeluarkan melalui urf yang tidak diamalkan lagi maka hukum tersebut tidak dianggap muhakkamah. (Wahbah Zuhaily, 2013, 251)
iv.    Tidak wujud sesuatu perkataan atau perbuatan yang secara terang menyalahi urf. Oleh itu,  tidak harus berpegang kepadanya  sekiranya terdapat perkataan dan perbuatan yang mengetepikan penggunaan urf dan adat. (Wahbah Zuhaily, 2013, 251)
v.      Hendaklah Urf itu merupakan sesuatu yang pasti, iaitu perkara yang wajib dipakai menurut pandangan masyarakat atau sekurang-kurangnya ia adalah adat untuk sebahagian negara walaupun tidak seluruh negara di dunia ini. Syarat ini hanya terdapat dalam fiqh Maliki dan Hanafi. (Ustaz Abd. Latif Muda, Ustazah Rosmawati Ali@Mat Zin, 2013, 333)

8.PERANAN ‘URF DALAM PENETAPAN HUKUM
Urf mempunyai kedudukan yang tinggi dalam sejarah perkembangan fiqh. Ia telah memainkan peranan yang penting dalam proses pembentukan hukum fiqh. Para ulama fiqh telah menjadikannya salah satu sumber dalam menentukan keputusan ijtihad mereka. Antara peranan yang dimainkan oleh ‘urf dalam bidang fiqh ialah :

1.      Perantara Kepada Dalil-dalil Fiqh
Sebahagian ulama seperti al-Qarafi dan Ibn Abidin telah mengiktiraf ‘urf sebagai salah satu sumber dalam hukum fiqh. Menurut Abu Yusuf dan Muhammad ibn al-Hasan, ‘urf dijadikan dalil keharusan di dalam akad al-mudharabah, akad al-istisna’, wakaf harta alih. Contohnya seperti akad tempahan,’urf bertindak sebagai perantara kepada ijmak sukuti iaitu persepakatan sebahagian para mujtahid terhadap sesuatu perkara pada sesuatu zaman dan sebahagian mujtahid hanya mendiamkan diri setelah mengetahuinya. Para mujtahid tidak pernah membantah dalam amalan ini.
2.      Rujukan Kepada Hakim untuk menjatuhkan hukuman
Dalam bidang kehakiman Islam, ‘urf menjadi rujukan hakim dan pengamal undang-undang dalam melaksanakan hukuman. Sebahagian ulama telah melarang para hakim terikat dengan mana-mana mazhab dan membelakangkan ‘urf dalam membuat keputusan mereka. Terdapat dua aspek peranan ‘urf dalam bidang ini iaitu :
i.            Dari aspek keterangan. Setelah meneliti bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwa dan tertuduh, hakim akan merujuk kepada ‘urf untuk membuat keputusan. Contohnya dalam kes kecurian,untuk menentukan hirz sesuatu barang curi itu hendaklah merujuk kepada ‘urf kerana hirz sesuatu barang itu berbeza dengan barang yang lain mengikut perbezaan ‘urf.
ii.             Dari aspek hukuman. Hukuman takzir tidak ditentukan secara terperinci dalam al-Quran dan Hadith tetapi diserahkan kepada hakim untuk menentukan bentuk hukuman yang sesuai dengan tahap kesalahannya menurut ‘urf.

3.      Tafsiran Kepada Kehendak Seseorang.
Urf dapat membantu menjelaskan maksud dan kehendak seseorang yang biasanya kehendak tersebut tidak dijelaskan oleh seseorang kerana ia sudah diketahui berdasarkan ‘urf. Contohnya dalam masalah jualbeli yang diwakilkan, penerima wakil hendaklah melakukan penjualan atau pembelian mengikut kadar harga pasaran walaupun pewakil tidak menyebutnya di dalam akad. Di sini menunjukkan pentingnya petunjuk daripada ulama.
4.      Pembantu Dalam Proses Tarjih
Tarjih yang dimaksudkan ialah apa yang dihuraikan oleh Yusuf al-Qardawi sebagai ijtihad intiqa’i iaitu memilih salah satu pendapat para ulama’ terdahulu berdasarkan kelebihan tertentu. Tarjih dalam bentuk ini hanya dibenarkan antara pendapat-pendapat yang berdasarkan dalil-dalil yang boleh diterima dan hanya berbeza dari segi kekuatannya sahaja. Salah satu dari pendapat tersebut dipilih berdasarkan ‘urf semasa yang mengambil kira keperluan manusia. Contohnya ialah keharusan wanita bermusafir tanpa ditemani suami atau muhrimnya jika tidak ditakuti apa-apa gangguan semasa perjalanan.
5.      Sebagai Penghurai Kepada Hukum-hukum Fiqh Yang Terkandung Dalam Nas.
Terdapat banyak hukum fiqh yang terkandung dalam nas dan hadith yang berdasarkan kepada ‘urf. Contoh seperti kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri dan anak. Dalam soal kadar, bentuk dan lain-lain perkara yang berkaitan diserahkan kepada ‘urf yang menghuraikannya. Di sini jaga jelas bahawa ‘urf sudah di kenali oleh manusia dan mesti tidak berlawanan dengan kehendak syarak. 

9. URF MERUPAKAN RUJUKAN PENERAPAN HUKUM-HUKUM
Urf juga dianggap sebagai rujukan penerapan hukum-hakam terhadap beragam kejadian yang besifat Juz-i. diantaranya adalah keadilan termasuk syarat diterimanya kesaksian. Dalilnya adalah firman Allah S.W.T. :
وَأَشْهِدُواْذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُم
Maksudnya :
“dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu,” (Surah at-Thalaq 65:2)

Keadilan menurut pandangan ulama fikah adalah kemampuan yang mendorong pemiliknya untuk selalu bertakwa dan menjaga maruahnya. Jadi apa saja yang dapat menjatuhkan maruah seseorang, dianggap sebagai unsur yang merosak keadilan, dan apa yang boleh merosaknya, tentunya memiliki perbezaan sesuai dengan perbezaan masa dan tempat. Di antaranya adalah apa yang dikatakan Syatibi : “ contohnya seperti membuka kepala (tidak memakai songkok) . Jelas hal ini berbeza dan sesuai dengan keadaan tempat. Ini kerana bagi yang memiliki maruah, membiarkan kepala tanpa menutup adalah sesuatu yang buruk di negeri timur, sedangkan di negeri barat sama sekali tidak buruk. Dengan begitu, maka hal tersebut dapat merosak keadilan dalam pandangan orang-orang timur, sedangkan bagi orang barat tidak menjadi masalah.( Wahbah Zuhaily, 2013, 251)

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ لاَ تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلاَّ وُسْعَهَا   

Maksudnya:
dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf (yang sepatutnya).” (Surah al-Baqarah 2:233)

Dari ayat di atas, Allah telah mewajibkan kepada seorang bapa untuk memberi makanan dan pakaian kepada ibu mengikut urf iaitu mengikut adat kebiasaan sesuatu tempat. Kadar bagi untuk memberikan makan dan pakaian adalah tidak ditetapkan dengan sesuatu bilangan atau ukuran malahan mengikut adat kebiasaan dalam kehidupan seharian. Jelaslah, urf dijadikan rujukan dalam menentukan jumlah nafkah kerana nas tidak menjelaskan jumlahnya.  (Wahbah Zuhaily, 2013, 252)

10. PERUBAHAN HUKUM TERJADI DENGAN PERUBAHAN MASA
Seluruh hukum yang dibina atas dasar urf, tentu akan mengalami perubahan jika kebiasaan atau urf tersebut berubah. Dan inilah maksud dari perkataan ulama fikah :  “ tidak dimungkiri adanya perubahan hukum dengan terjadinya perubahan masa.” Dalam hal ini, Imam Syihabuddin Al Qarafi berkata : “sesungguhnya hukum yang muncul disebabkan oleh pelbagai adat atau tradisi, tetap akan berlaku sepertimana adat tersebut telah berlaku, sebaliknya hukum-hakam tersebut juga boleh tidak berlaku jika adat atau tradisi tersebut tidak berlaku. Contohnya, seperti wang dalam akad-akad muamalat dan yang lain-lainnya. Jika wang tersebut digunakan dengan mata wang yang lain, maka nilai yang digunakan adalah dalam nilai mata wang tersebut. Cara atau kaedah ini memang telah disepakati oleh para ulama dan seragam dengan fatwa yang dikeluarkan sepanjang masa untuk diselaraskan dengannya. Jika adat atau tradisi berkembang atau berubah, maka keadaannya tetap dipertimbangkan dalam penetapan hukum-hakam. (Wahbah Zuhaily, 2013, 252)

Dengan cara ini, tentu sahaja berbagai-bagai hukum mempunyai perbezaannya. Diantaranya adalah pandangan imam Abu Hanifah yang mencukupkan sifat adil yang zahir dan tidak mensyaratkan adanya perakuan dari para saksi kerana pada saat itu kesalahan dan kebenaran nampak menjadi sesuatu yang umum pada sebahagian besar manusia. Namun ketika di mana Abu Yusuf dan Muhammad, kebohongan bermaharajalela sehingga sikap yang hanya berpegang kepada keadilan yang zahir menjadi keburukan dan kesalahan yang tidak dapat dielakkan. Oleh begitu, Abu Yusuf dan Muhammad pun mengharuskan adanya perakuan dari para saksi tentang keadilan seseorang. Dengan dasar perbezaan pandangan masalah ini antara Abu Hanifah dan kedua sahabatnya, para ulama memutuskan bahawa khiyar rukyat tidak akan berlaku dengan melihat zahir rumah dan sebahagian ruangnya sahaja. Dan ini juga yang difatwakan oleh para ulama Hanafiyah kerana ruangan memang didirikan dengan satu model, akan tetapi ketika adat dan kebiasaan manusia berubah dalam hal membangun rumah, maka ulama ketika itu menfatwakan tentang tidak berlakunya khiyar rukyat kecuali dengan melihat seluruh ruangan rumah itu. contoh yang lain seperti mengambil upah mengajarkan al-Quran kepada orang lain. Jika sebelum ini upah akan ditanggung dan diatur oleh baitulmal, namun kerana adat dan budaya telah berubah maka keadaan tersebut tidak boleh dilakukan lagi, dan ulama memfatwakan dibenarkan mengambil upah mengajar al-Quran dari pihak yang diajar. Tujuannya adalah agar al-Quran dan ilmu-ilmunya tidak sirna (lenyap).  (Wahbah Zuhaily, 2013, 253)

Perubahan yang terjadi dalam pelbagai hukum, jelas tidak berubah kecuali hukum-hakam yang dibangun atas dasar kebiasaan atau tradisi, juga tidak mencakup seluruh hukum Qath’iy yang dibawa syariat, sepertimana perubahan ini tidak dianggap sebagai penghapusan syariat, kerana memang hukum tetap berlaku, dan masalahnya belum tersedia seragam syarat penerapannya sehingga hukum yang lain diterapkan. Maknanya adalah keadaan yang baru yang boleh muncul sehingga mengharuskan penerapan hukum yang lain yang akan diterapkan, atau hukum yang asal tetap digunakan, namun ketika adat atau kebiasaan berubah maka mengharuskan penggunaan sejumlah syarat tertentu untuk menerapkannya. Syarat dalam hal kesaksian adalah keadilan, dan keadilan yang zahir sudah memadai, namun jika kebohongan bermaharajalela dalam kehidupan satu masyarakat, maka hal ini mengharuskan adanya perakuan dari para saksi akan keadilan tersebut. Dalam hal ini, Imam Syatibi berkata : “makna perbezaan adat atau tradisi adalah bahawa jika adat memiliki perbezaan, maka setiap adat kembali kepada sumber syar’I yang menjadi sandaran penetapan hukum. (Wahbah Zuhaily, 2013, 252)


KESIMPULAN
Kesimpulannya, ‘urf dan adat tetap diambil kira dalam memberi fatwa dan penghakiman bagi memelihara kepentingan atau maslahah, kerana sebahagian dari bentuk maslahah-maslahah manusia hendaklah memperakukan sesetangah yang telah menjadi kebiasaan dan adat mereka bertahun-tahun lamanya dan silih berganti generasi demi generasi. Kebiasaan dan amalan sedemikian merupakan suatu kelakuan sosial yang sukar untuk ditingglkan. Oleh itu, pengiktirafan itu tidak mutlak, bahkan terikat dengan syarat ia tidak bertentangan dengan nas syarak dan roh syariat islam.

 Dengan kata lainnya, ‘urf merupakan salah satu sumber hukum yang amat penting, kekuatannya dibuktikan dengan dalil-dalil al-Quran, al-Sunnah dan ijmak, ‘urf tidak boleh diguna pakai secara mutlak, bahkan terdapat syarat-syarat tertentu yang mesti ada untuk menjadikannya sebagai sumber hukum. Dan sememangnya tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa ‘urf juga telah bertindak sebagai salah satu di antara hukum-hukum syariat yang diperundangkan untuk kepentingan seluruh manusia seluruhnya dan menolak sebarang keburukkan yang menimpa mereka.



RUJUKAN

Al-Quran Al Karim

Ab.Latif Muda, Rosmawati Ali@Mat Zin 1997. Pengantar Usul Fiqh. Pustaka Salam       Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.

Ab. Latif Muda. Rosmawati Ali @ Mat Zin 2012. Usul Fiqh & Kaedah Fiqh. Pustaka      Salam Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.

Abd. Jalil Borham 2002. Pengantar Perundangan Islam. Penerbit UTM. Kuala Lumpur.

Hassan bin Ahmad.Muhammad Saleh bin Ahmad 1998. Usul Fiqh & Qawaid Fiqhiyyah.              Pustaka Haji Abdul Majid. Selangor.

Instrumen 'Urf Dan Adat Melayu Sebagai Asas Penetapan   Hukum Semasa Di Malaysia, http://www.myjurnal.my/public/article-download.php?id=72373, 26 JANUARI 2015

Uruf Majmuk: Konsep Dan    Amalannya Dalam MasyarakatMajmuk Di Malaysia, http://scholar.google.com/scholar?biw=320&bih=269&dpr=1, 24 JANUARI 2015 .
Wahbah Zuhaily 2013. Kaedah Usul Fiqh. Pustaka Al Ehsan. Selangor.





2 comments:

  1. Bagaimana hukum jika bertentangan urf dan bahasa? تعارض العرف مع اللغة

    ReplyDelete
  2. Lucky Club Casino Site Review
    Lucky Club casino review - bonuses, slots, live dealer games, software providers and everything else you need. Rating: 3.8 · ‎Review by luckyclub luckyclub.live

    ReplyDelete