Sunday, April 26, 2015

QAUL AL-SAHABI (FATWA SAHABAT) (NOR ATIQAH BINTI IBRAHIM D1320155)


BIL
ISI KANDUNGAN
HALAMAN
1.
PENGENALAN
1
2.

PENGERTIAN QAUL SAHABI
2
2.1
2.2
2.3
2.4
2.5

DARI SEGI BAHASA
DARI SEGI ISTILAH
DARI SEGI PANDANGAN ULAMA USUL FIQH DARI PANDANGAN ULAMA YANG BERBEZA
PERBEZAAN PENGERTIAN SAHABAT MENURUT PARA
MUHADDITSIN DAN USHULIYYIN
2
2
2

3
3.
DALIL PENSYARIATAN
3
4.

KEHUJAHAN/AUTORITI
4
4.1
4.2
4.3
PERSEPAKATAN PENDAPAT
PERSELISIHAN PENDAPAT
AUTORITI ULAMA’ YANG MENERIMA
5
7
8
5.
ISU-ISU SEMASA/PERMASALAHAN
9

5.1

5.2

PERSOALAN MENGENAI KEPERLUAN MUJTAHID MERUJUK      QAUL SAHABI
MASALAH PEWARISAN HARTA KEPADA ISTERI YANG DICERAIKAN KETIKA SUAMI SAKIT TENAT
9

10

5.3

HUKUM SOLAT SUJUD TILAWAH ADAKAH WAJIB ATAU SUNNAH
11
5.4

HUKUM SOLAT HARI AIDIL FITRI DAN AIDIL ADHA YANG JATUH PADA HARI JUMAAT
11
5.5
CONTOH-CONTOH FATWA SAHABAT (QAUL SAHABI)
12
6.
KESIMPULAN
14

RUJUKAN
15
 
1. PENGENALAN
Ilmu usul fiqh adalah ilmu yang menghuraikan tentang kaedah-kaedah yang digunakan oleh para  mujtahid dalam menetapkan hukum syarak. Usul fiqh adalah satu-satunya manhaj ilmiah Islam dalam mengistinbat hukum syara’.Ia merupakan peraturan dalam memahami nas-nas al-Quran dan al-Sunnah ketika merumus hukum hakam, tetapi pentafsiran yang dilakukan adalah hanya berkaitan dengan hukum syarak sahaja. Ketika Rasulullah masih hidup, para sahabat merujuk terus kepada Rasulullah SAW. Namun begitu, jika para sahabat tidak dapat merujuk kepada Rasulullah SAW, para sahabat akan menggunakan tiga sumber penting dalam mengistinbatkan hukum, iaitu al-Quran, al-Sunnah, dan ijtihad (Abd al-Wahhab Khallaf, 1999:32).
Al-Quran dan Al-Sunnah merupakan sumber hukum syariah,dikenali juga sebagai dalil.Selain Al-Quran dan Al-Sunnah dalil-dalil seperti ijma’, qiyas, istihsan, saddu zara’i dan seterusnya. Masalah-masalah baru sering diperdebatkan dalam menetapkan sesuatu hukum, terutama dalam perkara yang tidak dinyatakan dalam al-Quran contohnya hukum minum arak dinyatakan dalam al-Quran adalah haram tetapi hukum berkaitan dadah tidak dinyatakan.Para ulama’ kebanyakannya merujuk kepada fatwa sahabat dalam mengistinbatkan sesuatu hukum.Bukti paling jelas para sahabat menggunakan tiga sumber tersebut dapat dilihat dalam riwayat dari Muadz.
Rasuluallah SAW bersabda ketika mengutus Muadz ke Yaman:“Bagaimana kau memutuskan jika dihadapkan perkara kepadamu?, Muadz menjawab: “Saya putuskan dengan kitab Allah. Rasulullah bertanya kembali: “Jika tidak kau temukan dalam kitab Allah.” Muadz menjawab: “Saya putuskan dengan sunnah Rasulullah SAW. Rasulullah bertanya: Jika tidak kau temukan dalam sunnah Rasulullah Muadz menjawab: “Saya berijtihad dengan ra’yu saya dan tidak melampaui batas.” Muadz lalu berkata: “Rasulullah memukulkan tangannya ke dada saya dan bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah memberikan petunjuk utusan Rasulullah terhadap apa yang diredhai Rasulullah.”


2. PENGERTIAN QAUL AL SAHABI
Qaul al-Sahabi bermaksud perkataan sahabat Rasulullah s.a.w. dan kadang-kala ia disebut sebagai ‘Fatwa Sahabat’ atau sebagai mazhab al-sahabi, menjadi hujah atau tidak dalam menyelesaikan masalah-masalah melalui ijtihad yang tidak terdapat dalam al-Quran, al-Sunnah atau ijma’ (Quthb Musthafa Sanu,2002:1).

2.1 Dari segi bahasa
Dari segi bahasa, sahabat atau nama dalam bahasa Arab As-shahabi adalah mufrad dari shahabat, yang diambil dari kata-kata shahiba-yashahabu-shuhbatan dan shahabatan yang bermakna bergaul dengan seseorang (Muhammad bin Arifin, Muhammad Zaini bin Yahya,et.al,2010:74).

2.2 Dari segi istilah
Dari segi istilah, Qaul As-sahabi diertikan sebagai kata-kata atau perbuatan orang yang pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. (sahabat nabi) dalam keadaan beriman serta berdampingan dengannya untuk jangka masa yang lama (Muhammad bin Arifin, Muhammad Zaini bin Yahya,et.al,2010:74).

2.3 Dari segi pandangan ulama Usul Fiqh’
Menurut ulama’ usul fiqh sahabat ialah mereka yang bertemu dengan nabi Muhammad s.a.w. dan beriman dengannya, bersahabat dengannya dalam tempoh masa yang agak panjang dan mengambil ilmu darinya sehingga wajar dikatakan ia sebagai sahabat atau teman rapat dari segi urufnya seperti Khulafa’al-Rasyidin, Ibnu Abbas,Saidatina Aisyah dan lain-lain (Saharia Hj. Ismail,2014:85).
2.4 Dari sudut pandangan ulama’ yang berbeza
Para ulama’ memiliki sudut pandangan yang berbeza dalam memberi pandangan.Menurut para ulama’ muhadditsin as-shahabi ialah orang yang bertemu dengan Nabi s.a.w., beriman kepadanya dan mati dalam keadaan Islam,  (Siti Zalikhah Haji Md Nor, 2004,:36).


2.5 Perbezaan Pengertian Sahabat Menurut Para Muhadditsin dan Ushuliyyin
Menurut para Ushuliyyin pula, sahabat adalah setiap orang yang beriman kepada Nabi s.a.w., bergaul dengannya dalam waktu yang lama dan mati dalam keadaan Islam. Menurut Al-Baqilani dan beberapa ulama lainnya, seperti Ibnu Faruk dan Ibnu Sam’an bahwa sahabat adalah orang yang lama pergaulannya dengan Nabi Muhammad s.a.w. dan banyak berguru dengan baginda Rasulullah dengan cara mengikutinya dan mengambil pengajarannya. Para muhadditsin tidak mensyaratkan keperluan untuk bertemu dengan Nabi s.aw., cukuplah hanya sekali berjumpa dengan Nabi s.a.w., kerana para ulama muhadditsin memandang para sahabat sebagai periwayat bagi hadis-hadis Nabi Muhammad s.aw.
Para ulama Ushuliyyin pula mensyaratkan tempoh masa pergaulan antara para sahabat dengan Nabi s.a.w. Mereka beranggapan bahawa para sahabat adalah generasi yang akan menyampaikan hukum-hukum dalam Islam. Hal ini menuntut adanya pergaulan yang lama dengan Nabi s.aw.sehingga dapat menghasilkan ilmu dan pemahaman yang mendalam (M. Sulaiman Abdullah al-Asqar, et.al, 2001:131). Fatwa mengenai hukum dan ibadah tidak diriwayatkan kecuali  jika ia lebih dari seratus orang sahabat, baik dari kalangan lelaki mahupun dari kalangan wanita. Hal ini berdasarkan penelitian yang dibuat dalam mengeluarkan fatwa seramaai tujuh orang iaitu Umar bin Al-Khattab,Ali bin Abi Thalib, Abdullah bin Ummar dan Aisyah Ummul Mukminin. (Ali Jum’ah, 2004:35).

3. DALIL PENSYARIATAN
Dalam al-Quran Allah telah berfirman dalam surah al-Hashr iaitu:
وَأَيۡدِي ٱلۡمُؤۡمِنِينَ فَٱعۡتَبِرُواْ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَبۡصَٰرِ ٢

Maksudnya:“Dan ambillah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.”
(surah Al-Hashr,59:2)
Allah memerintahkan hamba-hambanya untuk mengambil pengajaran dan ia merupakan satu bentuk ijtihad. Ijtihad sangat berbeza dari taqlid, kerana hujah ijtihad dalam usaha untuk menyelesaikan masalah manakala taqlid mengambil pendapat yang lain tanpa sebarang hujah. Maka,  qaul sahabi termasuklah dalam kategori taqlid. Firman Allah s.w.t.:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
Maksudnya:“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”
 (surah annisa,4:59)
Apabila sahabat memberi fatwa kepada sebarang masalah yang berlaku maka ia dikatakan sahabat tersebut mengeluarkan sesuatu hukum melalui ijtihad. Fatwa yang dikeluarkan oleh sahabat  berkemungkinan mempunyai kesilapan kerana sahabat tidak bersifat maksum dan tidak terlepas dari melakukan kesalahan. Para sahabat, akan mengistinbatkan hukum berpandukan al-Quran dan sunnah sahaja kerana kebanyakan para sahabat merupakan periwayat hadis seperti Ali bin Abi Thalib, Umar Al-Khattab, Abdullah Ibnu Mas’ud, Abdullah Ibn Abbas, dan Abdullah bin Umar. Jika terdapat isu yang baru terjadi dan tidak terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah, para sahabat akan berijtihad berdasarkan panduan  dalam nas-nas yang ada, tetapi jika terdapat percanggahan pendapat, atau tiada ketetapan hukum tentang sesuatu perkara, maka mereka akan berijtihad dengan menggunakan ijma’ (Ali Jum’ah 2004:118).

4. KEHUJAHAN/AUTORITI
Wujud dua pandangan yang berbeza mengenai Qaul al-sahabi. Pandangan tersebut menjadi perselisihan dalam kalangan  ulama’, sama ada untuk menerima sebagai hujah atau sebaliknya. Fatwa sahabat yang tidak ada perselisihan dalam kalangan ulama’ tetapi ulama’ telah berselisih pendapat tentang pengertian al-Sahabi iaitu:
Pendapat pertama: al-Sahabi ialah orang yang berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w. serta beriman dan mati dalam Islam. Pendapat ini dikemukakan oleh ahli hadis, antaranya Ibn Hajar al-Asqalani dalam bukunya yang berjudul al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah dan beberapa pendapat dari ahli usul.
Pendapat kedua: al-Sahabi ialah orang yang mempunyai hubungan persahabatan yang lama dengan Nabi Muhammad s.a.w. serta mengikut baginda dalam jangka masa yang boleh dikatakan Sahib fulan iaitu sahabat pada ‘urf tanpa mengehadkan masa mengikut pendapat yang lebih sah. Pendapat ini dikemukakan oleh jumhur al-usuliyyin. Terdapat juga pendapat yang mengehadkan masa sekurang-kurangnya enam bulan.
Mengikut Said Ibn al-Mussayyab, bahawa seseorang itu tidak dianggap sebagai sahabat Rasulullah s.a.w. kecuali orang-orang tersebut telah tinggal bersama Rasulullah selama setahun atau dua tahun atau berperang bersama-sama baginda s.a.w. dalam satu atau dua peperangan.

4.1 Persepakatan Pendapat Para Ulama’
                                i.            Fatwa sahabat yang disandarkan kepada beberapa perkara yang berlaku pada masa hayat Rasulullah dan menjadi hujah tanpa sebarang perselisihan dikalangan ulama’.Alasannya ialah ia diiktibar sebagai satu sunnah yang diriwayatkan oleh sahabat daripada Rasulullah s.a.w. dan dinamakan sebagai Sunnah Taqririyah.

                              ii.            Ulama’ bersepakat perkara yang berkaitan dengan para sahabat tidak dapat dianggap melalui akal pemikiran serta tidak ada ruang ijtihad juga adalah dikira sebagai hujah kepada umat Islam. Hujah dan alasannya adalah para Sahabat pastinya menerima perkara itu daripada Rasulullah s.a.w. dan ia tidak berdasarkan  kepada pemikiran dan nafsu mereka. Misalnya, pandangan daripada para ulama’ mazhab Hanafi meriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud yang menyatakan mengenai tempoh seorang wanita dalam keadaan haid yang paling singkat adalah selama tiga hari ( Abd Latif Muda dan Rosmawati Ali, 2001:140)

                            iii.            Fatwa sahabat tidak ada sebarang percanggahan serta tidak diketahui ada perselisihan daripada sahabat lain dan ianya juga tidak disebar luas.Alasannya ialah dengan tidak adanya percanggahan dalam kalangan sahabat menunjukkan ianya kukuh serta dikira sebagai ijma’ para sahabat (Ustazah Saharia,2014: 86).
Selain itu, beramal dengan pandangan seorang sahabat walaupun ia bukan hasil ijtihad namun dianggap sebagai hujah kerana zahirnya ia adalah nukilan daripada Rasulullah s.a.w. Antara ulama’ yang berpendapat menyatakan bahawa ia sebagai hujah adalah Imam Malik,Abu Bakar Muhammad ibn al-Razi, Imam Syafi’i dan Imam Ahmad. Hujah pertama yang mengukuhkan pandangan mereka ialah dalam surah Al-Taubah (Abd Latif Muda dan Rosmawati Ali, 2001:140)

Firman Allah s.w.t:
وَٱلسَّٰبِقُونَ ٱلۡأَوَّلُونَ مِنَ ٱلۡمُهَٰجِرِينَ وَٱلۡأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحۡسَٰنٖ رَّضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ وَأَعَدَّ لَهُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي تَحۡتَهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدٗاۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ ١٠٠
Maksudnya:“Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar" dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
(surah At-Taubah 9:100)

Fuqaha juga bersepakat tentang hujah mengenai sahabat r.a. dalam perkara yang tidak dapat difahami melalui fikiran dan ijtihad. Allah memuji al-Sahabi dan orang-orang yang mengikuti mereka sebagai ihsan. Asas kepada pujian ini ialah apabila pandangan atau ijtihad Sahabat dijadikan sebagai rujukan (Zalikhah Haji Md.Nor, et. al.,2004:39). Allah s.w.t berfirman dalam surah Ali Imran:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ١١٠ 

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.”
(surah Ali Imran, 3:110)

Berdasarkan dalil diatas, Allah s.w.t. menyatakan bahawa setiap yang disuruh oleh para sahabat adalah kebaikan dan ia mesti diterima. Oleh itu, ijtihad (qaul) mereka wajib diterima.         ( T.M. Hasbi Ash-Shiddeqy,2002: 122)

4.2 Perselisihan pendapat ulama’
Terdapat dua pendapat yang berbeza tentang kehujahan qaul al-sahabi. Perbezaan dua pendapat ini berlaku dalam kalangan para ulama. Pendapat tersebut ialah:
Pendapat pertama mengatakan bahawa qaul al-sahabi bukan hujah secara mutlak. Ianya merupakan pendapat al-Shafi’iyyah, jumhur al-Asya’irah, Muktazilah dan Syi’ah (Wahbah al-Zuhailiyy 2005 : 105). Terdapat bukti bagi pendapat yang pertama yang mengatakan bahawa qaul al-sahabi bukan hujah yang mutlak. Bukti kepada pendapat ini ialah sesungguhnya pendapat  al-sahabi  daripada ijtihadnya secara berseorangan adalah sumber yang tidak maksum, dan setiap mujtahid yang melakukan ijtihad berkemungkinan terdapat kesalahan dalam melakukan ijtihad mereka. Oleh itu, tidak wajib ke atas golongan Tabi’in yang juga merupakan mujtahid untuk mengikut ijtihad para sahabat,sekiranya ijtihad mereka bersalahan antara satu sama lain. Namun, qaul al-sahabi merupakan hujah bagi selain daripada mujtahid dari golongan Tabi’in.
Pendapat kedua, Para Sahabat tetap memperakui ijtihad para Tabi’in, meskipun Tabi’in itu mempunyai ijtihad yang berbeza dengan pendapat para Sahabat. Ini dapat dilihat ketika Saidina Ali bin Abi Thalib r.a. mengemukakan kes kepada qadinya iaitu Shuraih bagi menuntut baju besi beliau yang berada di tangan seorang Yahudi. Perselisihan pendapat berlaku pada masalah kelayakan Saidina Hasan menjadi saksi kepada ayahnya sendiri iaitu Saidina Ali r.a., namun Saidina Ali r.a mematuhi keputusan Shuraih iaitu seorang menjadi saksi kepada ayahnya sendiri. (Wahbah al-Zuhailiyy 2005 : 106)

4.3 Autoriti Ulama’ yang Menerima
Para ulama’ bersepakat dalam hal yang melibatkan perkara-perkara yang tidak boleh diijtihadkan dan perkara-perkara yang disandarkan kepada Rasulullah. Qaul sahabi termasuk dalam kategori hadis nabi, maka para ulama’ menolak penggunaan saddu al-zarai kerana hukam hakam sesuatu perkara telah wujud nasnya. Jika ia dalam bentuk persepakatan para ulama’, maka ia digolongkan sebagai ijma’. Selain itu, para ulama’ berbeza pendapat dalam penerimaan qaul sahabi sebagai dalil hukum syarak. Ulama’ yang menerima Qaul sahabi ialah Imam Malik, Syafi’i dan Ahmad menerima ia sebagai dalil hukum syarak, manakala ulama’ Al-As’ariah menolaknya. Antara hujah ulama’ yang menerima qaul sahabi dalam firman Allah s.w.t. :
وَٱلسَّٰبِقُونَ ٱلۡأَوَّلُونَ مِنَ ٱلۡمُهَٰجِرِينَ وَٱلۡأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحۡسَٰنٖ رَّضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ وَأَعَدَّ لَهُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي تَحۡتَهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدٗاۚ ذَٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ ١٠٠
Maksudnya:"Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar" dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”
(surah at-taubah,9:100)
Dalam ayat diatas, Allah s.w.t. memuji orang-orang yang mengikut sahabat. Berpegang kepada fatwa yang dikeluarkan oleh para sahabat merupakan sebahagian daripada bentuk mengikuti mereka. (Abd al-Wahhab Khallaf, 1970:94). Firman Allah s.w.t. :
كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ١١٠
Maksudnya:“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik”.
(surah Ali Imran, 3:110)
Dalam ayat ini Allah s.w.t. menyifatkan para sahabat r.a. sebagai sebaik-baik umat yang mengajak kepada kebaikan dan melarang daripada melakukan perkara yang dilarang. Kita wajib berpegang dengannya. Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Apa yang didatangkan kepada kamu daripada kitab Allah maka hendaklah beramal dengannya tidak ada keuzuran pada meninggalkannya.Maka jika tidak ada dalam kitab Allah maka Sunnah daripadaku yang berterusan. Maka jika tidak ada Sunnah daripadaku maka apayang dikatakan oleh sahbat-sahabatku. Sesungguhnya sahbatku setaraf dengan bintang-bintang.Maka mana-mana yang kamu berpegang dengannya nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan perselisihan sahabat-sahabatku sebagai rahmat bagi kamu.”( Riwayat al-Baihaqin dalam al-Madkhal, al-Tabrani, al-Dilmi, Nase).
Berdasarkan hadis di atas, sahabat diumpamakan seperti bintang-bintang yang menjadi petunjuk. Justeru, hidayah diperoleh dengan mengikuti setiap yang diperkatakan oleh sahabat. Setiap yang disampaikan oleh sahabat adalah benar ( T.M.Hasbi Ash-Shiddeqy,2002: 122).

5. ISU-ISU SEMASA/PERMASALAHAN

5.1 Persoalan mengenai keperluan mujtahid merujuk Qaul Sahabi.
Timbul persoalan yang menyatakan bahawa adakah para mujtahid perlu merujuk kepada qaul al-sahabi sebelum merujuk kepada qiyas?.Adakah qaul al-sahabi itu hanya ijtihad individu sahaja dan bukan hujah bagi orang Islam?
Penyelesaian daripada masalah diatas ialah:
        i.            Abu Hanifah dan ulama yang sependapat dengan beliau tidak hanya melihat al-sahabi tertentu sahaja untuk menjadi hujah. Abu Hanifah mungkin mengambil pendapat daripada seorang sahabat yang dipilih, namun pada masa yang sama beliau melarang daripada menolak atau menentang pendapat mereka secara keseluruhannya. Abu Hanifah juga berpendapat qiyas tidak digalakkan dalam menyelesaikan suatu permasalahan apabila terdapat ijtihad sahabat pada masalah tersebut, Abu Hanifah akan mendahulukan qaul al-sahabi jika bertembung dengan qiyas.

      ii.            Menurut pendapat Imam Shafi’i, beliau tidak melihat qaul al-sahabi sebagai hujah dan menolak secara mutlak qaul al-sahabi dalam mengistinbat hukum. Ijtihad para sahabat adalah sama dengan para mujtahid lain yang bukan daripada kalangan sahabat. Beliau berkata: “tidak dibolehkan mengistinbatkan hukum  atau fatwa melainkan dengan nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah, atau setiap yang disepakati oleh para ulama atau dengan qiyas”. Nas di atas menunjukkan bahawa sumber perundangan Islam adalah terbatas kepada al-Quran, al-sunnah, ijma’ dan qiyas” (Abd al-Wahhab Khallaf,1970:95).

5.2 Masalah pewarisan harta kepada isteri yang diceraikan dengan talak ba’in ketika suami sakit tenat
Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik, dan Imam Ahmad, isteri berhak menerima pewarisan harta daripada suaminya. Begitu juga pendapat Imam Shafi'i mazhab qadim (sebelum berhijrah ke Mesir). Ini kerana terdapat kata-kata Saidina Uthman r.a. yang diriwayat oleh Ibn Abi Shaibah yang bermaksudnya: “Daripada Uthman r.a: “Diwariskan harta kepada isteri Abd al-Rahman bin Auf ketika diceraikannya dalam keadaannya yang sakit selepas tamat tempoh idahnya”.
(Musnaf Ibn Abi Shaibah (176/4).no. (19026)).
Manakala menurut pandangan Imam Shafi’I mazhab jadid, isteri tidak layak menerima pewarisan harta kerana hukum talak adalah sama ketika dalam keadaan sihat mahupun sakit. Bukti kepada perkara ini ialah:“Sesungguhnya suami tidak mewariskan harta kepada isteri setelah ditalakkan dalam keadaan suaminya sihat”.Begitu juga isteri yang ditalakkan dalam keadaan suaminya sakit hampir mati. Hal ini bermaksud tidak boleh memiliki harta pewarisan kerana tiada ikatan perkahwinan antara mereka. Sesungguhnya Allah telah mewujudkan pewarisan harta di antara suami isteri adalah kerana wujudnya hubungan perkahwinan yang sah (M. Sulaiman Abdullah al-Asqar, 2001:76).


5.3 Hukum solat sujud Tilawah adakah wajib atau sunnah?
Sujud Tilawah tidaklah wajib dan tidak berdosa jika tidak melakukannya, sebab terdapat beberapa keterangan bahawa Imam Malik dalam kitabnya Al-Muwatta daripada Hisham Ibn Urwah daripada bapanya ketika Umar bin Al-Khattab berada diatas mimbar pada hari Jumaat, Umar bin Al-Khattab membaca ayat sajadah dalam surah al-Nahl lalu ia turun dan sujud. Pada hari Jumaat yang berikutnya dia membaca ayat sajadah, ketika itu para sahabat sudah bersedia untuk sujud tetapi Umar berkata. “Allah SWT tidak mewajibkannya melainkan jika kita mahu melakukannya.  Imam Malik, Syafi’I dan Imam Ahmad berpendapat bahawa hukumnya adalah sunnah dan tidak diwajibkan. Imam Syafi’i menyatakan dalam dalil hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “bahawa Rasulullah s.a.w.,membaca ayat dalam surah An-Najm maka baginda bersujud, lalu bersujudlah yang lain kecuali dua orang”.
Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa hukum sujud Tilawah adalah wajb, Imam Abu Hanifah berdalilkan dengan beberapa hadis Nabi s.a.w.,Antaranya yang bermaksud Rasulullah sa.w. bersabda, “sujud Tilawah bagi sesiapa yang mendengarnya dan bagi sesiapa yang membacanya”. Dari Abu Hurairah r.a. dalam Kitab Al-Iman yang dimarfu’kan kepada Nabi s.a.w.,“apabila Ibn Adam membaca ayat sajadah maka syaitan akan menyendiri dan menangis sambil berkata: celakalah! Telah diperintah Ibn Adam untuk bersujud maka ia bersujud dan baginya syurg, sedangkan aku diperintah untuk bersujud tetapi enggan, maka bagiku neraka” (hadis riwayat Bukhari).

5.4 Hukum solat Hari Aidil Fitri Dan Aidil Adha Yang Jatuh Pada Hari Jumaat
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang telah membincangkan mengenai hari raya Aidil fitri dan Aidil Adha yang jatuh pada Hari Jumaat. Pada hari tersebut iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha jatuh pada hari Jumaat,  kewajipan menunaikan solat fardu Jumaat diwajibkan ke atas lelaki muslim yang bermastautin dan ahli masyarakat setempat. Walaupun orang yang bukan ahli masyarakat setempat yang  balik menziarahi ahli keluarganya, diberi kebenaran untuk tujuan berziarah dan kembali semula untuk  mereka mendirikan solat fardu Jumaat, jika dia mampua berbuat demikian. Jika tidak mampu berbuat demikian dia dikehendaki untuk  hadir  semula ke masjid untuk menunaikan solat fardu Jumaat dan hukumnya tidak berdosa. Daripada Abu ‘Abid, “Aku menyaksikan hari raya bersama dengan Uthman Ibn Affan. Setelah bersembahyang beliau berucap, “Sesungguhnya telah berhimpun  kepada kamu pada hari ini dua raya. Sesiapa dari kalangan ahl al-‘aliyah yang ingin menunggu untuk sembahyang Jumaat, maka boleh tunggu tetapi sesiapa yang ingin pulang, maka aku izinkan”.
Qaul sahabi iaitu Saidina Uthman r.a., menjelaskan bahawa ia bukan merupakan hasil al-ray’ tetapi nukilan daripada Nabi Muhammad s.a.w. Ia diterima oleh Imam Syafie sebagai hujah kerana ia menepati qiyas bukan semata-mata ia qaul sahabi. Mereka yang di bolehkan meninggalkan solat Jumaat kaum wanita, orang lelaki yang bermusafir, hamba dan orang lelaki yang sakit( uzur syari’e ). Solat fardu Jumaat adalah merupakan satu syiar daripada syiar-syiar Agama Islam yang perlu dijaga dan dilaksanakan.  Berjemaah di dalam menunaikan solat fardu Jumaat adalah wajib fardu ain. 

5.5 Contoh-Contoh Fatwa Sahabat
Kebanyakan para sahabat merupakan perawi hadis seperti Ali bin Abi Thalib, Umar Al-Khattab, Abdullah Ibnu Mas’ud, Abdullah Ibn Abbas, dan Abdullah bin Umar. Oleh itu, tidak sukar bagi para sahabat untuk untuk menentukan hukum. Walaubagaimanapun, jika muncul isu yang baru terjadi dan tidak terdapat dalam al-Quran dan al-sunnah, para sahabat akan berijtihad berdasarkan pengetahuan mereka tentang tujuan syariat dan panduan nas-nas tersebut, tetapi apabila terdapat percanggahan pendapat, atau tiada ketetapan hukum tentang sesuatu perkara, maka mereka akan berijtihad degan menggunakan ijma’. Ijma’ mula digunakan pada zaman sahabat Rasulullah dan antara kalangan para sahabat yang mengamalkan ijma’ ialah seperti Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Uthman Bin Affan r.a, Saidina Umar Al-Khattab r.a, dan Saidina Ali. Ijma’ terjadi apabila kata sepakat dalam sesuatu hukum dicapai antara mereka.
 Saidina Umar Al-Khattab r.a dikenali sebagai sahabat yang banyak memperkenalkan penggunaan pertimbangan maslahah di dalam pemecahan hukum. Hasil penggunaan pertimbangan maslahat tersebut dapat dilihat di dalam tindakan beliau mengumpul dan membukukan  Al-Quran dalam satu mushaf, pengucapan talak sebanyak tiga kali di dalam satu masa atau majlis dipandang sebagai talak tiga, penggunaan pajak tanah (kharaj), dan sebagainya. Walaupun para sahabat tidak mempunyai masalah dalam menginstinbatkan hukum, namun di kalangan para sahabat masih terdapat sedikit percanggahan pandangan antara mereka dalam memahami maksud bagi sesebuah ayat yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah. Contoh percanggahan pendapat tersebut dapat dilihat dalam pemahaman ayat iddah dalam surat al-Baqarah 228 yang bermaksud “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu selama tiga kali suci”.
Tiga kali suci di dalam ayat di atas memberi pengertian iaitu suci daripada haid. Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar bin Al-Khattab, Saidina Ali, Saidina Usman, dan Abu Musa al-Asy’ari memahami maksud suci di dalam ayat di atas dengan pengertian haid, manakala Aisyah, Zaid bin Tsabit, dan Ibnu Umar mengertikannya dengan kesucian. Dapat disimpulkan di sini, usul fiqh pada era sahabat juga masih belum menjadi sebagai satu bahan kajian ilmiah.
Walaupun antara para sahabat mereka membincangkan tentang percanggahan pendapat mereka, namun perbincangan itu belum menuju kepada pembentukan sebuah bidang kajian khusus tentang metodologi. Pertukaran pendapat dan perbincangan yang dilakukan oleh para sahabat lebih bersifat praktis untuk menjawab permasalahan-permasalahan yang timbul. Pembahasan hukum yang dilakukan oleh para sahabat hanya terbatas kepada pemberian fatwa atas pertanyaan atau permasalahan yang muncul. (M. Sulaiman Abdullah al-Asqar, 2001:77).

6. KESIMPULAN
Kesimpulannya, Qaul al-sahabi ini merupakan ijtihad individu para sahabat yang mendengar daripada Rasulullah s.a.w, dan ini lebih membawa kepada sunnah Rasulullah s.a.w., namun qaul al-sahabi tidak secara keseluruhannya menjadi hujah bagi ulama’-ulama’. Dalam mengistinbatkan hukum syariat, Imam Shafi'i  berpendapat bahawa qaul al-sahabi tidak menjadi hujah.Ini kerana pensabitan qaul al-sahabi memerlukan kepada dalil yang kuat dan benar. Dalil tidak disepakati menjadi hujah apabila para mujtahid tidak menjumpai hukum sama ada di dalam al-Quran, al-Sunnah, ijma’ ulama dan qiyas.
Oleh hal yang demikian, qaul al-sahabi tidak boleh menjadi hujah bagi semua umat Islam sama ada untuk menerimanya sebagai hujah atau tidak. Para mujtahid selepas para sahabat tidak diwajibkan untuk menjadikan qaul al-sahabi sebagai hujah. Kaedah Saddu al-Zarai’ tidak perlu digunakan kerana sesuatu masalah diselesaikan dan ditentukan hukumnya melalui ijma’.  Kesemua ulama’ bersepakat bahawa sahabat adalah orang yang beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan mati dalam keadaan Islam. Qaul sahabi termasuk dalam persepakatan para sahabat maka ia dikategorikan sebagai ijma’. Sesiapa yang mengikut para al-sahabi, maka ia sama seperti mengikut setiap yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Dalam hadis nabi Muhammad s.a.w., menerangkan tentang berpegang kepada sahabat-sahabat baginda iaitu: “Daripada Al-Irhaad bin Sariah, sabda Rasulullah s.a.w.” berpeganglah kamu dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ Ar-rasyidin. (riwayat Abu Daud dan Tarmizi). Oleh itu, ijtihad qaul sahabi wajib diterima. Dalam hadis Rasulullah s.a.w.bersabda yang bermaksud “Sahabatku seperti bintang, dengan mengikut mereka akan mendapat hidayah.”(Hadis riwayat al-Darqatni).


 
RUJUKAN
Al-Quran Al-Karim
Abd Al-Wahhab Khallaf.1999. Ilmu usul al-fiqh.,Kuwait: Dar al-Kalam.
Ali Jum’ah. 2004. Qaul As-Shahabi ‘Ushuliyyin’, Kuwait:Dar-Ar-Risalah
Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin. 2001. Perbahasan usul al-ahkam. Kuala Lumpur:                                                 Pustaka Salam Sdn Bhd.
Hadis Nabi Muhammad SAW
M. Sulaiman Abdullah al-Asqar. 2001. Al-Wadhih fi Ushulul Fiqh, Jakarta: Pelangi Publisher
Quthb Musthafa Sanu. 2002. Mu’jam Musthalahat Usulul Fiqh,Damsyiq:Dar Al-Fikri
Saharia Hj.Ismail.2014. Perbahasan Usul Fiqh: satu pengenalan awal, Melaka:Kolej                                 Universiti Islam Melaka.
Siti Zalikhah Haji Md. Nor. 2004. Al-Syariah:Konsep&Perundangan Islam Jilid I,             Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka,
T.M.Hasbi Ash Shiddeqy. 2000. Pengantar Ilmu Fiqih, Indonesia:Penerbit Bulan Bintang.
Majlis Fatwa Kebangsaan. 29/1/2015. AidilFitri Dan AidilAdha Jatuh Pada Hari Jumaat.                          http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/aidilfitri-dan-aidiladha-jatuh-pada-hari-jumaat.



2 comments:

  1. Ali Jum’ah. 2004. Qaul As-Shahabi ‘Ushuliyyin’, Kuwait:Dar-Ar-Risalah
    ini kitab kah?

    ReplyDelete